Muhasabah Diri – Ujian Allah

Muhasabah Diri – Ujian Allah

Episod Muhasabah Diri kali ini membincangkan tajuk Ujian Allah SWT.

Muhasabah Diri merupakan program tazkirah pendek berdurasi 10 minit yang mengajak penonton untuk bermuhasabah diri dengan menginsafi setiap perkara yang telah dilakukan, samada baik atau sebaliknya. Tazkirah kali ini bertajuk “Ujian Allah” dan disampaikan oleh Dato Syeikh Muhamad Baderudin bin Haji Ahmad.

Manusia tidak pernah lari daripada ujian. Ujian kesusahan ataupun kesenangan juga dikira ujian. Didalam siri ini, YBhg. Dato’ telah menerangkan tiga jenis ujian Allah SWT yang dikenakan kepada hamba-hambanya. Jenis ujian pertama adalah ujian atau bala yang dikenakan oleh Allah kepada hambanya sebagai balasan atau hukuman kepada perkara-perkara mungkar yang telah dilakukan.

Ujian kedua pula adalah ujian Allah SWT sebagai peringatan kepada hamba-Nya yang lalai dan lupa. Ujian ini sedikit-sebanyak mengingatkan manusia agar kembali menuruti perintah dan larangan yang ditetapkan Allah SWT.YBhg. Dato’ memberikan contoh bala yang pernah diturunkan kepada umat-umat yang terdahulu. Ini adalah kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan.

Jenis ujian ketiga adalah ujian yang dikenakan oleh Allah untuk meningkatkan kedudukan hamba-Nya. Contohnya adalah ujian Allah kepada rasul-rasulnya untuk mempertingkatkan kedudukan daripada rasul biasa kepada rasul Ulul Azmi. Begitu juga kepada manusia biasa, ada kalanya ujian yang dikenakan Allah adalah untuk meningkatkan kedudukan seseorang kepada yang lebih baik.

Setiap manusia tidak terlepas daripada dikenakan ujian Allah SWT. Sebagai hamba-Nya, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah agar diampunkan dosa dan dipermudahkan ketika menghadapi ujian. Perisai orang ynag beriman hanyalah doa kepada Allah SWT.