Isu Akidah – Transgender – Pandangan Islam

Isu Akidah – Transgender – Pandangan Islam

Isu Akidah musim ke 15 dan episod ke 15 ini membawakan topik ‘ Transgender: Pandangan Islam’ .  ‘Transgender’ adalah kecelaruan jantina yang menjadi isu yang tidak pernah habis dan semakin merebak di Malaysia dan di kalangan umat Islam, khususnya. Isu ini yang menjadi barah semakin berlarutan dan amat membimbangkan.

Gender Identity Disorder, nama lain bagi penyakit psikologi ini. Kecelaruan ini melibatkan aspek emosi dan pemikiran individu tersebut. Gejala kecelaruan jantina merupakan isu realiti yang wujud antara kehidupan rakyat kita di Malaysia. di dalam Islam sememangnya termaktub bahawa hanya ada lelaki dan perempuan. Lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki akan dilaknat oleh Allah SWT. Ini menunjukkan betapa Islam amat tegas di dalam menangani gejala ini.

Namun sejauh mana usaha kita mentarbiah mereka agar tidak menyimpang dari agama dan terpesong akidah. Bagaimana pula peranan masyarakat agar mereka ini dapat membina sahsiah yang baik serta sifat jati diri yang kuat. Mereka juga perlu  mencari jalan agar generasi akan datang tidak terjebak dalam isu ini. Sesungguhnya, individu yang terjebak dengan kecelaruan jantina ini hendaklah didekati dan bukanlah dipulaukan. Oleh kerana mereka sangat sensitif, dakwah secara halus hendaklah dilakukan. islam mengajar kita supaya mengasihi sesama lain dan ini termasuklah di dalam konteks mereka yang bermasalah ini.