Sejarah Kota Mekah dan Perkembangannya

Sejarah Kota Mekah dan Perkembangannya

Episod Al-Haramain kali ini membawa penonton menghayati sejarah Kota Mekah dan perkembangannya.

Kota Mekah merupakan tapak terawal tamadun dan kehidupan manusia. Di dalamnya terdapat Baitullah al-Haram yang merupakan pusat koordinat sejagat . Sejarah Kota Mekah mempunyai kaitan yang rapat dengan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. Sehingga ke hari ini, Kota Mekah telah mengalami perkembangan bagi menampung kunjungan umat Islam yang menunaikan ibadat haji dan umrah.

Kota Mekah terletak di kaki Bukit Al-Sarawat. Pada asalnya, ia adalah bumi gersang yang berbatu dan tandus . Perkembangan Kota Mekah bermula apabila telaga zam-zam terbit setelah Siti Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali untuk mencari air bagi Nabi Ismail A.S. yang kelaparan. Penghayatan kisah pengorbanan Siti Hajar telah diperintahkan Allah sebagai salah satu rukun haji dan umrah. Sehingga kini, telaga zam-zam yang penuh keberkatan ini tidak pernah kering dan terus menjadi sumber minuman umat Islam di Kota Mekah dan Madinah.

Bani Kuza’ah telah memerintah Kota Mekah selama 500 tahun. Seterusnya, Kota Mekah diwariskan kepada Qusai Bin Qilab dari Bani Quraisy, moyang keempat Nabi Muhamad yang merupakan menantu kepada Bani Kuza’ah. Beliau telah membina Darul Nadwah yang merupakan pusat mesyuarat pembesar Quraisy, penggalian telaga untuk sumber air serta binaan batasan di dataran Kaabah untuk kemudahan tawaf. Apabila legasi pemerintahan Bani Quraisy berada di bawah tanggungjawab Abdul Mutallib, beliau telah mengarahkan penggalian semula telaga zam-zam yang telah ditimbus oleh Bani Jurhum.

Perubahan pelbagai era pemerintahan di Kota Mekah telah meninggalkan sejarah yang unik terhadap binaan Kaabah, kiswah dan struktur binaan Masjidil Haram. Tercatat di dalam sejarah bahawa Kaabah telah mengalami pembinaan semula sebanyak lima kali bermula pada zaman Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. hingga ke pemerintahan Sultan Murad Khan Al-Uthmani.

Apakah sejarah bentuk binaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim A.S. dan perkembangnnya sehingga kini? Bagaimanakah Islam boleh terbit dan berkembang di Kota Mekah? Siapakah yang telah meletakkan kiswah (kelambu) pertama di Kaabah? Dapatkan segala sejarah berkenaan Kota Mekah dan perkembangannya di dalam episod ini.

 

 

 

 

Category: AlHaramain, Majalah