Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW

Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW

Episod Al-Haramain kali ini membawa penonton menelusuri peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut. Pelbagai peristiwa dan tempat bersejarah dicatatkan sepanjang perjalanan Rasulullah ke Madinah, sehingga terbinanya sebuah negara Islam pertama di dunia.
Hijrah bermaksud  berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia merupakan sunnah para nabi terdahulu. Dari sudut  istilah, hijrah bermaksud berubah dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya iman. Selama 13 tahun selepas dilantik menjadi nabi, Rasulullah SAW telah cuba  menyampaikan Islam kepada masyarakat  Quraisy yang berada dalam keadaan jahiliyah. Dataran Kaabah dipenuhi berhala manakala Rasulullah SAW telah dimusuhi kaumnya sendiri sehingga diperintahkan Allah untuk berhijrah ke Madinah.
Sebagai langkah awal penghijrahannya, Rasulullah SAW telah mewujudkan jaringan komunikasi yang baik dengan berdakwah kepada rombongan haji di Mina . Di antara jemaah haji yang terlibat adalah jemaah dari  Yathrib (Madinah). Selain itu, Rasulullah SAW turut memetrai perjanjian setia pertama dan kedua di antara baginda dan kaum Ansar pada musim haji sebelum penghijrahan ke Madinah di Masjid Bai’ah, di Lembah Aqabah.
Rasulullah telah menerima tentangan dan ugutan daripada kaum Quraisy yang ingin menghalang penghijrahan baginda ke Madinah. Oleh itu, beberapa sahabat telah membantu perjalanan hijrah Rasulullah SAW. Sebaik keluar dari rumahnya, Rasulullah SAW telah pergi ke Jabal Thur dan bersembunyi di sana selama 3 hari. Seterusnya Rasulullah SAW bergerak ke Wadi Ibrahim dan kemudian ke Hudaibiyah. Dari Hudaibiyah, Rasulullah SAW bergerak ke Wadi Fatimah, Hadar, Wadi Qudaid, Juhfah dan seterusnya ke Quba’, yang terletak di pinggir Madinah. Rasulullah tiba di Quba’ selepas 10 hari mengembara dari Mekah. Baginda telah mengasaskan Masjid Quba’, masjid pertama dalam Islam yang dibina atas dasar ketakwaan. Sebaik sahaja memasuki Kota Madinah, Rasulullah SAW telah disambut dengan penuh meriah oleh penduduk Madinah. Rasulullah SAW juga telah  membina Masjid Nabawi, masjid suci yang menjadi pusat pentadbiran negara Islam pertama.
Apakah sejarah yang tercatat di lokasi persinggahan Rasulullah SAW sepanjang perjalanan baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah? Siapakah para sahabat yang telah membantu penghijrahan baginda? Apakah peristiwa yang telah menentukan lokasi pembinaan Masjid Nabawi? Dapatkan jawapannya dengan menonton episod Al-Haramain ini.

Category: AlHaramain, Majalah