Madinah Bumi Tadahan Wahyu

Madinah Bumi Tadahan Wahyu

Episod Al-Haramain kali ini membawa penonton mengenali tanah suci Madinah bumi tadahan wahyu.

Madinah juga dikenali sebagai Darul Hijrah dengan keluasan 589 kilometer persegi. Kota suci ini menjadi tempat kediaman dan makam Nabi Muhammad SAW.

Selepas Perang Badar, terdapat dua peperangan penting di dalam sejarah Islam iaitu Perang Uhud dan Perang Ahzab (Khandak). Perang Uhud berlaku di Jabal Uhud. Pada awalnya, kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Namun, disebabkan keingkaran kumpulan pemanah tentera Islam mematuhi arahan Rasulullah SAW untuk kekal di Bukit Al-Rummah, tentera Islam telah menerima kekalahan.

Perang Ahzab pula berlaku pada tahun berikutnya. Tentera Islam telah menggali parit (khandak) sebagai strategi peperangan mereka setelah diusulkan oleh Salman Al-Farisi. Pasukan tentera Islam telah berjaya menewaskan tentera musyrikin di dalam peperangan ini.

Di samping itu, Madinah juga dikenali sebagai pengeluar buah kurma utama di Arab Saudi. Madinah juga mempunyai kilang cetakan Al-Quran yang terbesar di dunia. Kilang yang diasaskan oleh Raja Fahd Abdul Aziz pada 1982 ini mencetak 10 juta naskhah Al-Quran untuk diedar secara percuma ke seluruh dunia setiap tahun. Ia juga mencetak 193 juta naskhah terjemahan Al-Quran yang diterbitkan dalam 160 bahasa saban tahun.

Sebagai sebuah negara Islam yang pertama, banyak masjid telah didirikan di sekitar Kota Madinah ini. Di antaranya Masjid Jumaah, masjid pertama di mana Rasulullah SAW menunaikan Solat Jumaat. Di Masjid Al-Ghamamah pula, Rasulullah SAW pernah menunaikan solat sunat hari raya dan solat sunat istisqa’ . Di Masjid Abu Bakar , Rasulullah SAW telah menunaikan solat ghaib ke atas Raja Najasyi dan solat sunat hari raya pada tahun ke-7 hijrah. Masjid Qiblatain (Dua Qiblat) pula terdapat 2 mihrab. Mihrab lama menghadap ke Baitul Maqdis manakala mihrab baru menghadap ke Kaabah. Di masjid inilah Rasulullah SAW telah diwahyukan oleh Allah untuk menukar arah kiblat solat dari Baitul Maqdis ke Kaabah di Masjidil Haram.

Masjid Abu Bakar, Masjid Ali Abu Talib, Masjid Saba’ah (Masjid Tujuh), Masjid Ijabah, Masjid Sheikhain, Masjid Al-Mustarah dan Masjid Al-Miqat juga mencatatkan sejarah tersendiri ketika pemerintahan Rasulullah SAW. Apakah kisah di sebalik masjid-masjid tersebut? Dapatkan jawapannya di dalam episod Al-Haramain kali ini.

Category: AlHaramain, Majalah