Kelebihan Sedekah Bhg.2 – Taman Syurga

Kelebihan Sedekah Bhg.2 – Taman Syurga

Taman  Syurga kali ini yang membawa tajuk  kelebihan sedekah adalah sambungan daripada bahagian pertama iaitu Kelebihan bersedekah,   bahagian dua (2), episod 71  memaparkan  Habib  Ali  Zaenal  Abidin  Al-Hamid menyambung perbincangan sebelum ini iaitu keutamaan dan adab bersedekah. Episod kali ini memperjelaskan kepada penonton mengenai kelebihan orang yang suka bersedekah.

Bersedekah di jalan Allah samada sedikit tetap  akan  memperolehi  ganjaran  dari  Allah  SWT. Kita juga patut bersaing untuk bersedekah .Selain daripada itu, bagaimana pula dengan orang yang tidak mempunyai harta untuk bersedekah? Persoalan ini terjawab dengan Rasulullah SAW menyarankan bahawa berzikir  dan  bertahmid  juga adalah dikira sebagai sedekah. Malaikat juga akan mendoakan  kesejahteraan kepada orang yang bersedekah . Manakala, orang yang kedekut untuk bersedekah akan mendapat kemusnahan kepada hartanya.

Islam menggalakkan  umatnya  bersedekah dan  dengan  berbuat  demikian  menjadikan  mereka sebagai  hamba  yang  sentiasa  bersyukur kepada Allah SWT. Pahala orang yang bersedekah akan berterusan sekiranya sedekah mereka membawa kebaikan kepada orang yang disedekahkan. Contohnya, jika seseorang itu membiayai pengajian secara percuma kepada seorang pelajar, ilmu yang dipelajari oleh pelajar tersebut dan diamalkan akan berterusan membawa pahala kepada si pembiaya.

Di samping itu,   penceramah  membicarakan  mengenai  keistimewaan  bersedekah  di  jalan  Allah SWT. Memberi sedekah adalah   tanda  orang  beriman  seperti  memberi  makan  kepada  orang, dengan izin Allah akan  dijauhi  orang yang bersedekah  dari  api  neraka. Bersedekah juga akan dapat menghindarkan diri dari kemurkaan Allah SWT.

Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid juga mencadangkan semoga kita sebagai orang Islam menjadi orang yang suka bersedekah, semoga kita menjadi hambaNya yang beriman dan mendapat ganjaran pahala di akhirat kelak.