Jangkitan Hepatitis B dan C – Dr Muhaya Dot Com
Jangkitan Hepatitis B dan C – Dr Muhaya Dot Com
Dr Muhaya Dot Com episod 17 kali ini membawakan tajuk jangkitan Hepatitis B dan C . Doktor jemputan yang bersama-sama bersiaran menemani Dr Muhaya ialah Dr Aizan Hasanuddin, Pakar Perubatan Gastroentologi daripada Darul Ehsan Medical Center, Shah Alam.
Topik utama yang dikupas adalah tentang jangkitan pada hati iaitu jangkitan Hepatitis B & C. Dr Aizan memberi penerangan mengenai rawatan dan pencegahan penyakit berjangkit ini. Mereka yang berisiko jangkitan Hepatitis B & C seperti pekerja kesihatan (doktor, jururawat dan sebagainya), ahli keluarga terdekat pesakit dan penerima darah sebelum tahun 1990. Sebagai pencegahan awal dari terus berjangkit keluarga pesakit perlu membuat ujian saringan untuk mengesan Hepatitis B & C.
Selain daripada itu, penerangan Dr Aizan juga menyentuh tentang Hepatitis C ( kegagalan hati ) iaitu sirosis dan kanser hati. Perbincangan di hangatkan lagi oleh penjelasan pengalaman pesakit jangkitan Hepatitis B dan C yang mengalaminya semasa mengandung. Pesakit ini mengetahui yang beliau menghidap penyakit tersebut melalui ibunya.
Manakala bagi segmen dapur sihat Dr Hajar, yang dikendalikan oleh Dr Hajar Badrul Hisham memperkenalkan masakan Strawberry Smoothie dan Jus Hijau. Kedua-dua resipi ini sesuai untuk disediakan semasa sarapan pagi secara ringkas. Bahan-bahannya juga senang didapati dengan harga yang berpatutan. Ia juga bagus untuk kesihatan kerana tiada bahan pengawet dan bahan kimia.
Segmen Rawat Jiwa pula adalah sebuah segmen interaksi yang menjawab persoalan dari penonton. Dr Muhaya akan membacakan persoalan dari penonton daripada media sosial iaitu Facebook. Persoalan untuk episode ini adalah bagaimana untuk memikat hati mak mertua. Kemudian, nasihat dan pandangan akan diberikan untuk menolong penonton tersebut menerusi situasi yang diberikan.
Sesuatu yang positif akan membuahkan hasil yang positif dan sesuatu yang negatif akan membuahkan sesuatu yang negatif. Dengan pendekatan ini, persoalan penonton akan terjawab secara psikologi tetapi ditangani dengan positif. Oleh itu, untuk mendapatkan sesuatu, cara yang sepatutnya mesti dilakukan dengan positif dan niat yang baik.