Halal & Haram – Tanggungjawab Ibu Bapa

Fiqh Syariah – Halal & Haram Tanggungjawab Ibu Bapa

Episod 69 ini memaparkan Ustaz Harryanto membincangkan tentang tajuk ‘Tanggungjawab Ibu Bapa’, berdasarkan buku ‘Halal Dan Haram Dalam Islam’, tulisan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang diterjemahkan oleh Dr. Zulkifli Al-Bakri (2013). Setiap anak mempunyai hak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa, antaranya ialah hak untuk mendapat kasih sayang, hak untuk mendapatkan makan, minum yang halal, hak untuk mendapatkan keadilan, hak mendapatkan pemberian pusaka mengikut syariat dan sebagainya.

Ustaz Harryanto mengupas tentang tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Ibu bapa tidak boleh membunuh anak-anak seperti yang dilakukan oleh orang Arab jahiliyah. Setiap anak mempunyai hak masing-masing. Anak lelaki mempunyai hak yang tersendiri dan begitu juga dengan anak perempuan. Hak kasih sayang, perhatian dan belaian mestilah diberikan kepada semua anak-anak. Orang Arab jahiliyah mengganggap anank perempuan sebagai sial, bencana dan bebanan. Anak adalah anugerah yang tidak ternilai dan perlu dijaga dengan penuh kasih-sayang.

Di dalam masyarakat kita, istilah anak derhaka amatlah popular. Tetapi sedarkah masyarakat bahawa ibu-bapa juga boleh dianggap derhaka kepada Allah SWT sekiranya tidak menunaikan hak anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah tidak lupa akan tanggungjawab mereka terhadap hak anak-anak. Pendidikan, bimbingan untuk mengenal Allah SWT mestilah diajar. Semua ini akan ditanya di akhirat nanti.