Episod 12 – Akademi Silat

Episod 12 – Akademi Silat Pendekar Muda

Akademi Silat Pendekar Muda sudah sampai ke penghujungnya. Episod ke 12 ini penuh dengan kupasan tentang perjalanan terakhir pendekar-pendekar muda yang berjaya ke pertandingan akhir. Empat orang pendekar muda yang berjaya melangkah ke gelanggang terakhir adalah Ahmad Syahmi Shaari, Mohammad Syahmi Azri Zaini, Mohd. Syamil Jamal dan Muhammad Adib Jamaluddin. Mereka di beri peluang pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meminta restu dari perguruan mereka.

Perjalanan episod ini bermula dengan monolog terakhir pendekar muda yang tersingkir pada episod ke 11 iaitu Nor Hisyam Hassan. Walaupun perjuangannya di Akademi Silat Pendekar Muda telah terhenti sebelum melangkah ke gelanggang yang terakhir, beliau cukup berpuas hati dan redha akan keputusan yang diberi.

Keempat-empat pendekar muda yang berjaya mara ke medan akhir bergerak pulang untuk mendapatkan restu. Dua pendekar muda dari utara iaitu Kedah dan seorang dari Johor dan seorang anak watan Kuala Lumpur. Kepulangan pendekar muda ke utara mendapat sambutan hangat penduduk kampung dengan mengadakan kenduri besar-besaran. Sambutan di Johor di kalangan ahli keluarga pendekar muda dipenuhi dengan restu dan tangisan dari ahli keluarga. Manakala pendekar muda dari Kuala Lumpur mendapat restu dari ayahnya, iaitu guru perguruannya.

Selain daripada itu, sekembalinya mereka ke Kuala Lumpur, mereka mengadakan promosi terakhir Akademi Silat Pendekar Muda di dataran Sogo. Krew produksi Akademi Silat Pendekar Muda menerangkan tentang di sebalik pembikinan rancangan realiti ini.