Berurusan Dengan Orang Bukan Islam

Fattabiouni – Berurusan Dengan Orang Bukan Islam

Episod ini membincangkan tentang peribadi Nabi Muhammad S.A.W apabila berurusan dengan orang bukan Islam.

Fattabiouni adalah perkataan di dalam Bahasa Arab yang bermaksud “Ikutilah Daku”. Rancangan tazkirah pendek dalam Bahasa Arab yang disampaikan oleh al-Shaikh Mohammed Bin Abdul Rahman Al-Saggaf  ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu untuk memudahkan pemahaman penonton. Kandungan tazkirah ini menjurus kepada sunnah Nabi Muhammad SAW dalam segala aspek kehidupan yang patut kita contohi. Tazkirah yang mudah, ringkas dan menarik ini memberi banyak informasi untuk diamalkan oleh setiap insan.

Orang bukan Islam tetap mempunyai hak mereka di dalam masyarakat. Rasulullah SAW sendiri pernah menekankan agar umat Islam tidak menzalimi hak orang bukan Islam,  tidak mengurangkan haknya malahan tidak mengambil hak orang bukan Islam tanpa kerelaan mereka,
Seorang muslim hendaklah menunjukkan peribadi, tutur kata dan tingkah laku yang baik kepada semua. Perbuatan ini akan memuliakan lagi agama Islam yang menitik beratkan ihsan sesama makhluk.

Rasulullah SAW pernah berdiri bagi menghormati jenazah Yahudi yang lalu di hadapan baginda. Baginda sangat menghormati makhluk ciptaan Allah walaupun bukan beragama Islam. Baginda juga pernah menandatangani Perjanjian Hudaibiyah walaupun perjanjian tersebut lebih menyebelahi kaum Musyrikin. Baginda yakin keharmonian dapat dicapai daripada perjanjian tersebut. Apabila orang Islam dan bukan Islam dapat hidup bersama dengan harmoni, saling menghormati dan bertoleransi, keindahan Islam dapat ditunjukkan . Oleh itu masyarakat bukan Islam dapat mengenali Islam dengan lebih dekat dan mudah tertarik kepada Islam.