Sejarah Perkembangan dan Pembangunan Kota Mekah dan Madinah (Al-Haramain)

Episod Al-Haramain ini mengimbas sejarah perkembangan dan pembangunan Kota Mekah dan Madinah.

Kota Mekah merupakan kota paling suci bagi umat Islam. Ia merupakan lokasi utama bagi ibadat haji dan umrah. Di situ juga terletaknya Kaabah di dalam kawasan Masjidil Haram, yang menjadi satu-satunya tumpuan kiblat solat setiap muslim. Ini menggambarkan kesepaduan umat Islam tanpa mengira bangsa.

Kota Mekah asalnya ialah padang pasir yang gersang. Perkembangan Kota Mekah bermula apabila wujudnya telaga air zam-zam dan pembinaan kaabah dari kisah Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S dan bondanya Siti Hajar.

Kota Mekah terletak di lokasi yang strategik iaitu di laluan perdagangan kafilah ke Syams. Zaman kemakmuran dan keamanan Kota Mekah mula dikecapi pada abad ke-5 Masihi semasa pemerintahan Qusai bin Qilab. Pemodenan Kota Mekah telah berlangsung dalam tempoh 80 tahun apabila kerajaan Arab Saudi menguasai Hijjaz pada tahun 1932.

Pada masa ini, pembesaran Masjidil Haram berskala mega sedang giat dijalankan. Ia bertujuan untuk menampung para jemaah haji dan umrah yang meningkat sebanyak 4 hingga 5 juta orang setiap tahun. Peluasan Masjidil Haram akan menjadikan keluasan terbarunya sehingga 400,000 meter persegi. Selain itu, pemodenan Kota Mekah ini juga melibatkan naik taraf kemudahan melontar, kemudahan di Mina dan keretapi laju dari Mekah ke Madinah.

Madinah pula merupakan kota kedua suci bagi umat Islam.Ia merupakan negara Islam pertama yang diasaskan Rasulullah selepas hijrah. Walaupun tidak menjadi lokasi bagi rukun wajib haji dan umrah, tetapi banyak tempat suci dan bersejarah yang patut diziarahi oleh umat Islam.

Pada masa ini, populasi penduduk di Madinah telah mencecah 1 juta orang. Masjid nabawi adalah di antara tempat suci yang patut dikunjungi ketika di Madinah. Di situlah terletaknya makam Rasulullah SAW dan sahabat-sahabtnya. Masjid ini telah diperluaskan dan dinaik taraf beberapa kali termasuk pemasangan 250 payung gergasi boleh laras di sekitar dataran masjid bagi keselesaan pengunjung.

Category: AlHaramain, Majalah