Ahlan Ya Ramadan

Ahlan Ya Ramadan

Ahlan Ya Ramadan memaparkan bual bicara santai Heliza Helmi (artis) dan Diana Amir (artis) sebagai tetamu jemputan bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan sebagai bulan kegembiraan dan tarbiah. Diacarakan oleh Farahanim Razak, rancangan ini menjadi lebih menarik dengan kehadiran kakitangan TV AlHijrah sebagai penonton utama.

Program ini berkisar tentang pengalaman dan juga perkongsian peribadi kedua-dua artis jemputan berkenaan Ramadan . Setiap individu mempunyai pengalaman yang berbeza. Ini adalah kerana status mereka. Suasana berpuasa sebagai orang bujang tidaklah sama dengan yang mempunyai keluarga. Inilah yang mereka ingin sampaikan terutamanya sebagai artis dan duta kecil dunia penyiaran

Mereka berdua telah berkongsi pengalaman manis masing-masing menyambut Ramadan semasa masih kanak-kanak dan setelah dewasa atau berumah tangga. Nikmat berpuasa berbeza mengikut keadaan dan inilah uniknya Ramadan. Pengalaman Diana Amir yang mempunyai anak kecil dikongsi bersama terutamanya bagaimana beliau menjalani ibadah puasa dan terawih apabila terpaksa menyusu dan menjaga anak kecil.

Kemudian, mereka berkongsi  pengalaman berada di negara Palestin, Syria dan Sepanyol. Kesusahan, kedaifan dan semangat kental penduduk Islam di negara berkenaan memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka berdua. Pengisian ilmu juga dikongsikan tentang bagaimana ibu-ibu di negara-negara yang bergolak tersebut mendidik anak-anak mereka melalui pengajian Quran. Betapa setiap tindak-tanduk anak-anak di penuhi dengan pembelajaran berunsurkan Al Quran.