Fattabiouni – Silaturahim

Fattabiouni – Silaturahim

Episod Fattabiouni kali ini berkongsi kepentingan dan kelebihan memelihara silaturahim yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Fattabiouni adalah perkataan di dalam Bahasa Arab yang bermaksud “Ikutilah Daku”. Rancangan tazkirah pendek dalam Bahasa Arab yang disampaikan oleh al-Shaikh Mohammed Bin Abdul Rahman Al-Saggaf ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu untuk memudahkan pemahaman penonton. Kandungan tazkirah ini menjurus kepada sunnah Nabi Muhammad SAW dalam segala aspek kehidupan yang patut kita contohi. Tazkirah yang mudah, ringkas dan menarik ini memberi banyak informasi untuk diamalkan oleh setiap insan.

Pada zaman ini, manusia terlalu sibuk dengan kehidupan seharian. Mereka jarang menjalankan aktiviti kekeluargaan sehingga hubungan silaturahim semakin renggang. Kesannya, anak-anak tidak mengenali saudara-mara mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang ingin dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia dan hidupnya bertambah baik maka dia perlu bersilaturahim”. Baginda sangat menekankan aktiviti mengeratkan hubungan silaturahim. Apabila hubungan silaturahim dapat dikukuhkan, ikatan kekeluargaan semakin mesra. Ahli keluarga akan saling mengambil berat dan membantu di antara satu sama lain.

Sesiapa yang memutuskan silaturahim, amalannya tidak akan diterima, tidak mendapat rahmat Allah dan putus rezekinya.

Banyak cara boleh dilakukan untuk mengeratkan silaturahim. Pertemuan dengan ahli keluarga ketika hari keraian, cuti umum dan hari perayaan boleh dirancang dan dianjurkan secara bergotong-royong. Teknologi canggih masa kini juga boleh digunakan untuk berhubung dan mendekatkan yang jauh tanpa mengira masa dan lokasi, malahan dengan kos yang murah.