Fattabiouni – Sabar

Fattabiouni – Sabar

Episod Fattabiouni kali ini berkongsi kepentingan dan kelebihan sifat sabar yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW. Sabar amat penting di dalam kehidupan seorang umat Islam. Bersabar dan bertabah adalah sesuatu yang senang diperkatakan tetapi amat sukar untuk dilakukan.

Fattabiouni adalah perkataan di dalam Bahasa Arab yang bermaksud “Ikutilah Daku”. Rancangan tazkirah pendek dalam Bahasa Arab yang disampaikan oleh Al-Shaikh Mohammed Bin Abdul Rahman Al-Saggaf ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu untuk memudahkan pemahaman penonton. Kandungan tazkirah ini menjurus kepada sunnah Nabi Muhammad SAW dalam segala aspek kehidupan yang patut kita contohi. Tazkirah yang mudah, ringkas dan menarik ini memberi banyak informasi untuk diamalkan oleh setiap insan.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang sangat penyabar. Baginda sentiasa sabar dengan setiap ujian yang menimpa, terutama ketika Baginda menyebarkan dakwah Islam. Sikap ini perlu dicontohi oleh kita semua. Jika seseorang inginkan sesuatu atau ingin berjaya, dia hendaklah bersabar dalam menempuhi halangan dan berusaha mencapainya. Apabila ditimpa musibah, kita hendaklah bersabar dalam menghadapinya. Kita hendaklah bertenang dan tidak mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kita tidak redha ke atas ujian Allah itu. Berfikiran positif adalah salah satu sikap dan pemangkin yang boleh diterapkan untuk menjadi seorang yang bersabar.

Terdapat beberapa jenis sabar. Di antaranya sabar taat, maksiat dan musibah yang menimpa. Sabar taat iaitu ketika menjalankan ibadat. Seterusnya sabar maksiat iaitu menahan pandangan dan nafsu. Seterusnya yang ketiga ialah bersabar ke atas musibah yang menimpa. Allah akan menguji setiap hamba yang dicintainya, agar hamba-Nya itu akan lebih dekat kepadanya. Bersabar bukanlah mudah. Tetapi, kita sebagai umat Islam haruslah menerapkan kesabaran di dalam semua aspek kehidupan.

Kesimpulannya, umat Islam haruslah mempunyai sifat sabar. Menjadi seseorang yang sangat sabar ketika berada di dalam sebarang situasi bukanlah mudah. Seorang yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi akan dianugerahkan ganjaran yang amat lumayan di akhirat nanti. Tontonlah program dan Muhasabah Diri untuk memahami kepentingan dan kelebihan bersabar.

Category: Fattabiouni, Musim 4