Fattabiouni – Perubatan dan Rawatan

Fattabiouni – Perubatan dan Rawatan

Episod ini membincangkan berkenaan adab-adab serta kaedah rawatan dan perubatan yang ditunjukkan Nabi Muhammad S.A.W.

Fattabiouni adalah perkataan di dalam Bahasa Arab yang bermaksud “Ikutilah Daku”. Rancangan tazkirah pendek dalam Bahasa Arab yang disampaikan oleh al-Shaikh Mohammed Bin Abdul Rahman Al-Saggaf ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu untuk memudahkan pemahaman penonton. Kandungan tazkirah ini menjurus kepada sunnah Nabi Muhammad SAW dalam segala aspek kehidupan yang patut kita contohi. Tazkirah yang mudah, ringkas dan menarik ini memberi banyak informasi untuk diamalkan oleh setiap insan.

Kesihatan adalah nikmat kedua terpenting kepada setiap insan selepas keimanan. Segala nikmat makan, minum dan sebagainya tidak bermakna ketika kesihatan kita terjejas. Nabi Muhammad SAW mengajar kita agar sentiasa mengamalkan doa memohon keampunan, keselamatan dan kesihatan.

Setiap penyakit yang diturunkan Allah SWT turut disertakan dengan penawarnya. Nabi Muhammad SAW menggalakkan kita untuk mencari penawar penyakit. Pelbagai kajian telah dilaksanakan sejak zaman dahulu dalam usaha mencari penawar bagi penyakit sehingga melahirkan tokoh-tokoh Islam terkemuka di dalam bidang perubatan seperti Ibnu Sina. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga sangat menitik beratkan cara pemakanan dan kebersihan terutama ketika menyediakan makanan. Baginda mengamalkan dua bentuk rawatan. Pertama, rawatan fizikal melalui ubat-ubatan. Ini termasuk makanan-makanan sunnah seperti madu dan habatussauda. Kedua, rawatan rohani melalui doa, zikir dan Al-Quran.

Di dalam episod kali ini juga, adab-adab sebagai pengamal perubatan dan adab-adab ketika menziarahi orang sakit turut dikongsikan.