Muhasabah Diri – Jangan kau aniaya dirimu

Muhasabah Diri – Jangan kau aniaya dirimu

Episod Muhasabah Diri kali ini membincangkan tajuk Jangan Kau Aniaya Dirimu.

Muhasabah Diri merupakan program tazkirah pendek berdurasi 10 minit yang mengajak penonton untuk bermuhasabah diri dengan menginsafi setiap perkara yang telah dilakukan, sama ada baik atau sebaliknya. Tazkirah kali ini bertajuk “Jangan Kau Aniaya Dirimu” dan disampaikan oleh saudara Mohd. Radhi Abdul Ghani.

Manusia perlu bersyukur di atas segala kurniaan, limpah rahmat dan kasih-sayang Allah kepada hambanya. Allah SWT tidak pernah lalai dalam memberikan nikmat dan rahmat kepada hamba-Nya.  Walau bagaimanapun, manusia banyak melakukan penganiayaan kepada diri mereka sendiri. Setiap hari, manusia banyak melakukan dosa dan mengingkari larangan Allah SWT sama ada mereka sedari atau tidak. Di antara penganiayaan yang dilakukan adalah tidak fokus ketika beribadat serta gagal melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka sendiri. Dosa di atas perkara-perkara yang dilakukan ini dicatat oleh malaikat dan akan mendapat balasan di hari akhirat.

Sejarah penganiayaan manusia ke atas diri sendiri bermula daripada  Nabi Adam AS dan Hawa yang gagal menuruti larangan Allah SWT. Nabi Adam dan Hawa telah menderhaka kepada Allah dengan memakan buah yang terlarang hingga mereka disingkirkan ke bumi dan bertaubat kepada Allah. Kisah tersebut tercatat di dalam kitab suci Al-Quran, Surah Al-A’raf , Ayat 23.