Ingatlah jangan dilupai

Muhasabah Diri – Ingatlah jangan dilupai

Episod Muhasabah Diri kali ini membincangkan tajuk Ingatlah Jangan Dilupai.

Muhasabah Diri merupakan program tazkirah pendek berdurasi 10 minit yang mengajak penonton untuk bermuhasabah diri dengan menginsafi setiap perkara yang telah dilakukan, sama ada baik atau sebaliknya. Tazkirah kali ini bertajuk “Ingatlah Jangan Dilupai” yang disampaikan oleh saudara Mohd. Radhi Abdul Ghani.

Manusia sentiasa lalai dalam mengingati Allah . Malahan, menjadi sombong apabila dilimpahi dengan pelbagai kesenangan hidup. Sedangkan Allah tidak pernah sesekali lupa kepada hamba-Nya. Terlalu banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Nikmat kehidupan, kesenangan, rahmat dan kasih-sayang Allah tidak pernah putus kepada setiap hamba-Nya. Manusia yang benar-benar bertakwa dan takut kepada Allah akan sentiasa ingat kepada Allah. Sekiranya Allah melupakan hamba-Nya, maka banyak nikmat yang diterima manusia akan ditarik semula.

Rasulullah SAW adalah insan yang sentiasa mengingati Allah. Setiap perbuatan baginda sentiasa diiringi doa. Di dalam episod kali ini, saudara Mohd. Radhi Abdul Ghani memetik firman Allah dari Surah Al-Ahzab ayat 41, yang menjelaskan bahawa sifat orang yang bersyukur adalah orang yang sentiasa ingat dan menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya.Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri agar menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah ketika senang mahupun susah.