Muhasabah Diri – Indahnya Hidupkan Malam (Qiyamullail)

Muhasabah Diri – Indahnya Hidupkan Malam (Qiyamullail)

Episod Muhasabah Diri kali ini membincangkan tajuk Indahnya Hidupkan Malam (Qiyamullail).

Muhasabah Diri merupakan program tazkirah pendek berdurasi 10 minit yang mengajak penonton untuk bermuhasabah diri dengan menginsafi setiap perkara yang telah dilakukan, sama ada baik atau sebaliknya. Tazkirah kali ini bertajuk “Indahnya Hidupkan Malam (Qiyamullail)” dan disampaikan oleh saudara Syarul Azman Shaharuddin.

Waktu malam adalah waktu rehat bagi setiap insan daripada kesibukan dunia. Allah telah memerintahkan umat Islam untuk bangun dan menghidupkan sepertiga malam. Amalan ini sering dilaksanakan oleh Rasulullah SAW walaupun baginda telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Baginda sering melaksanakan qiyamullail ini sebagai tanda syukur kepada Allah. Amalan ini menghasilkan individu yang hebat kerana memerlukan keazaman yang tinggi untuk bangun dan beribadat di waktu malam. Sehinggakan dalam sirah Rasullullah SAW, amalan ini pernah dijadikan baginda sebagai salah satu kriteria pemilihan tentera Islam untuk pergi berperang

Qiyamullail boleh diisi dengan membaca Al-Quran, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat tasbih, solat tahajjud, solat witir dan sebagainya. Waktu qiyamullail adalah waktu yang paling tenang dan khusyuk untuk seorang muslim berdoa dan memikirkan kebesaran Allah. Seorang insan yang bertakwa, akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bangun dan menghidupkan malamnya dengan beribadat kepada Allah seperti yang dianjurkan di dalam Al-Quran, Surah Al-Muzammil ayat 1-6.