Muhasabah Diri – Hebatkan sifat malu kita

 Muhasabah Diri – Hebatkan sifat malu kita

Episod Muhasabah Diri kali ini membincangkan tajuk “Hebatkan sifat malu kita”. Muhasabah Diri merupakan program tazkirah pendek berdurasi 10 minit yang mengajak penonton untuk bermuhasabah diri dengan menginsafi setiap perkara yang telah dilakukan, sama ada baik atau sebaliknya. Tazkirah kali ini bertajuk “Hebatkan sifat malu kita” dan disampaikan oleh saudara Syarul Azman Shaharuddin.
Allah menekankan pentingnya perasaan malu pada diri manusia. Rasullullah SAW pernah bersabda bahawa  malu itu adalah sebahagian daripada iman. Rasulullah SAW sendiri mempunyai sifat malu yang sangat hebat. Malu boleh dikategorikan kepada dua. Pertama, malu kepada Allah kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah. Sekiranya seorang insan tidak mempunyai perasaan malu untuk melakukan maksiat kepada Allah, maka insan tersebut tidak teragak-agak untuk melakukan perkara yang ditegah oleh Allah seperti mencuri, minum arak dan sebagainya.
Malu yang kedua ialah malu  untuk meninggalkan ketaatan kepada Allah. Ia menjadikan seseorang sentiasa berusaha mentaati Allah kerana perasaan malunya sangat kuat sekiranya beliau meninggalkan perintah Allah seperti menunaikan solat, menutup aurat dan sebagainya.
Sifat malu perlu ditanam dalam jiwa manusia agar menjadi perisai daripada melakukan maksiat dan meninggalkan perintah Allah. Kita perlu banyak berdoa agar sifat malu sentiasa ada dalam diri kita. Perasaan malu perlu dipupuk agar wujud di antara hubungan manusia dengan Allah dan juga sesama manusia .