Muhasabah Diri – Cahaya Iman

Muhasabah Diri – Cahaya Iman

Episod Muhasabah Diri kali ini membincangkan tajuk Cahaya Iman.
Muhasabah Diri merupakan program tazkirah pendek berdurasi 10 minit yang mengajak penonton untuk bermuhasabah diri dengan menginsafi setiap perkara yang telah dilakukan, sama ada baik atau sebaliknya. Tazkirah kali ini bertajuk “Cahaya Iman” dan disampaikan oleh saudara Elyas Ismail.
Cahaya di dunia membolehkan manusia nampak jalan kehidupan. Tanpa cahaya, manusia berada di dalam kegelapan dan kesesatan menuju kehancuran.
Berbeza dengan cahaya yang dilihat melalui deria mata, cahaya iman hanya boleh dilihat melalui mata hati. Melalui cahaya ini, kehidupan manusia dibimbing menuju ke alam akhirat.
Rasulullah SAW sentiasa berdoa agar hati, telinga, lidah, wajah dan persekitaran hidup baginda sentiasa dilimpahi cahaya iman. Apabila hati disinari cahaya, hati menjadi lebih tenang dalam mengharungi hidup. Telinga yang disinari cahaya adalah telinga sentiasa dipelihara daripada perkara-perkara yang dimurkai Allah. Wajah yang disinari cahaya adalah wajah yang tenang dan bercahaya hasil menjaga hubungan dengan Allah. Solat adalah di antara kunci utama hubungan di antara manusia dan Allah.
Rasulullah SAW turut berpesan agar umat Islam sentiasa  membaca Al-Quran dan hadis dengan bersungguh-sungguh, kerana ia adalah sinar cahaya daripada kegelapan. Umat Islam juga disarankan untuk memperbanyakkan solat , berdoa serta mempertingkatkan amal ibadat agar memperoleh cahaya keimanan daripada Allah.