Al-Haramain

menu

Al-Haramain yang bermaksud dua tanah haram adalah rancangan bersiri berkenaan kota Mekah dan Madinah. Kedua-dua tanah suci bagi umat Islam ini menyimpan pelbagai sejarah perjuangan Rasulullah SAW di dalam menegakkan syiar Islam.

Penonton akan dibawa mengenali sejarah kota Mekah dan Madinah. Bagaimanakah keadaan asal kedua-dua kota ini? Apakah faktor yang mendorong kepada kemajuan kota Mekah dan Madinah? Siapakah yang telah membina Kaabah? Bagaimanakah telaga air zam-zam wujud? Semua persoalan ini akan terjawab apabila penonton menyaksikan episod pertama Al-Haramain.

Seterusnya, Al-Haramain merungkai sejarah kota Mekah secara lebih terperinci. Kuasa pemerintahan di Mekah ditelusuri sehinggalah kepada kewujudan sinar Islam di bumi Mekah. Evolusi binaan Kabaah dan Masjidil Haram dari asal pembinaannya hingga kini juga diperjelaskan kepada penonton.

Dalam satu episod yang lain, peranan yang dimainkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan ajaran Islam dikupas dengan lebih mendalam. Bagaimanakah keperibadian Nabi Muhammad SAW? Apakah kelebihan baginda sehingga mendapat kepercayaan kaumnya sendiri? Mengapakah baginda akhirnya mendapat tentangan kaumnya sendiri? Semuanya terjawab dalam salah-satu episod Al-Haramain ini.

Berdakwah di kalangan kaum musyrikin yang memegang teguh ajaran nenek moyang mereka merupakan cabaran besar ke atas Rasullullah SAW. Akhirnya, baginda dengan hati yang berat terpaksa meninggalkan Mekah dan berhijrah ke kota Madinah. Perjalanan hijrah Rasulullah penuh liku dan cabaran. Ketahuinya dalam episod khusus perjalanan hijrah Rasulullah di siri Al-Haramain.

Setelah hijrah, penentangan daripada kaum musyrikin tidak pernah padam. Beberapa peperangan besar dikongsikan kepada penonton. Selain kota Mekah, kota Madinah juga menjadi bumi tadahan wahyu. Banyak masjid-masjid di bina di Madinah dan mempunyai sejarah tersendiri ketika pemerintahan Rasulullah SAW.

Al-Haramain juga menjelaskan kepada penonton berkenaan ibadah haji yang telah disyariatkan kepada Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Muhammad SAW. Ibadah haji Rasulullah SAW meninggalkan impak besar kepada umat baginda. Kenapakah ibadah haji Rasullah dipanggil haji wadak dalam sirah baginda? Apakah amanat yang terkandung di dalam khutbah baginda ketika musim haji tersebut?

Rentetan siri Al-Haramain seterusnya berkongsi kisah peluasan dan pembangunan semula kedua-dua kota Mekah dan Madinah. Pelbagai perancangan pembangunan, penambahbaikan, proses naik taraf kemudahan dikongsikan untuk makluman penonton. Semua aktiviti pembangunan dan peluasan ini dijalankan oleh kerajaan Arab Saudi untuk keselesaan jemaah haji dan umrah yang meningkat saban tahun.

Banyak informasi menarik dapat diperolehi dengan menyaksikan siri Al-Haramain ini. Semoga rancangan yang bermanfaat ini dapat menaikkan semangat penonton untuk menjadi tetamu Allah di Haramain satu hari nanti.